Umno harap tiada p'raya kecil di Kota Siputeh

Abdul Rahim Sabri
mALAYSIAKINI

Umno Kedah berharap tidak ada pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh tetapi parti itu sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Bagaimanapun, Umno yakin mampu mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti lebih besar ekoran terdapat petanda pengundi akan kembali menyokong parti itu, kata Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanifah.

Katanya, berdasarkan maklumbalas, sekiranya 40 peratus pengundi menyokong pembangkang tahun lalu, kembali menyokong BN, maka kerusi Kota Siputeh akan dapat dikekalkan.

"Rakyat melihat pemimpin yang di atas, tengok apa yang Datuk Seri Najib Tun Razak (perdana menteri) lakukan.

"Dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh orang nombor satu, saya yakin sokongan rakyat akan kembali kepada BN. BN ada keyakinan untuk kembali meningkatkan majoriti di Kota Siputeh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas peluang BN untuk mengekalkan kerusinya di Kota Siputeh berdasarkan majoriti yang diperolehinya tahun lalu sangat berkurangan (495), berbanding dengan majoriti 1,573 undi pada 2004.

Isnin lalu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, semasa membenarkan semakan kehakiman oleh Abdul Isa, memutuskan kerusi itu kosong berikutan kegagalan Abu Hassan menghadiri dua sidang dewan pada tahun ini.

Bagaimanapun sehari selepas itu, bekas ADUN Kota Siputeh itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, calon BN Datuk Abu Hassan Syarif mendapat 8,160 undi, menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh yang memperolehi 7,665 undi.

Menurut Ahmad Bashah lagi, punca kekurangan majoriti di DUN tersebut adalah disebabkan peralihan sokongan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dalam pilihanraya umum lalu.

Harap tiada p'raya

"Dalam pilihanraya umum lalu, bukan Melayu lari langsung daripada (menyokong) kita - bermula dari Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang hingga ke Kedah.

"Kita banyak bergantung kepada (undi) bukan Melayu. Calon BN dari kaum Cina dan India semua kalah, itu yang kita kalah di Kedah," katanya.

Tambahnya, ia juga berpunca daripada krisis dalaman Umno di mana terdapat di kalangan akar umbi yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang bertanding tahun lalu.

Ditanya sama ada Abu Hassan akan dicalonkan semula untuk mewakili BN sekiranya ada pilihanraya kecil, Ahmad Bashah berkata ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti berdasarkan kehendak akar umbi.

"Saya setuju dengan Datuk Seri Najib, kalau akar umbi nak beliau (Abu Hassan), pucuk pimpinan akan buat keputusan.

"Yang penting apa yang rakyat hendak... bukan kita (pemimpin) yang nak mengundi tapi akar umbi," katanya.

Abu Hassan ada ketua Umno Jerlun dan menjadi ADUN Kota Siputeh selama empat penggal.


Continue Reading »

Wujud Konspirasi Terhadap Saya-Husam

Khabar angin mengenai langkah menggugurkan Husam sebagai Exco mula timbul ekoran dakwaan Syed Azidi bahawa Nik Aziz akan mengumumkan keputusan letak jawatan Ariffahmi, semalam.

“Saya tahu bahawa Tok Guru tidak akan berbuat demikian kerana beliau seorang pemimpin yang waras,” tambah Husam yang merupakan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun Husam juga enggan mengesahkan sama ada Ariffahmi merupakan individu di belakang dalam usahanya untuk menggulingkan beliau daripada kerajaan negeri.

“Mereka adalah pihak luar, berusaha untuk menyerang, tetapi sasaran mereka ialah Tok Guru dan kemudian mereka akan bergerak untuk menggulingkan kerajaan PAS,” kata Husam lagi
Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mendakwa sudah wujud konspirasi untuk menggulingkan beliau daripada pentadbiran kerajaan negeri itu.

“Terdapat usaha untuk mencetuskan perbalahan antara saya dan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan),” akui beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Saya sedar tentang kewujudan konspirasi (pihak tertentu) terhadap saya,” kata beliau lagi.


Continue Reading »

Nik Aziz disenarai 50 tokoh berpengaruh di dunia Islam 2009

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Nov: PAS mendapat penghormatan dunia Islam apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah disenaraikan antara '50 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia'.

(Nik Aziz ditangga ke 42 Muslim paling berpengaruh di didunia)

Menteri Besar Kelantan itu, disenarai di tempat ke 42 dalam senarai '500 Muslim yang Berpengaruh Tahun 2009'.

The Royal Islamic Strategic Studies Center untuk pertama kalinya menerbitkan buku “The 500 Most Influential Muslims In The World” tahun 2009.

Para tokoh muslim dari seluruh dunia yang terpilih masuk dalam daftar itu adalah kalangan Muslim yang dianggap memiliki kemampuan untuk mempengaruhi keadaan kemanusian dan mampu membawa perubahan dalam kehidupan ramai orang.

“500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia” sepanjang tahun 2009 itu, dibahagi dalam 15 katagori, antara lain katagori ulama, politik, cendekiawan, perempuan, pemuda, ilmu dan teknologi, media sampai kategori muslim radikal.

Tokoh Muslim dunia lainnya yang masuk dalam daftar 50 tokoh peringkat teratas dimulai dengan, Raja Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud; pemimpin spritual Iran, Syed Ali Khamenei; PM Turki Recep Tayyib Erdogan; Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Pimpinan Universitas Al-Azhar, Kairo, Dr Muhammad Sayyid Tantawi; Syaikh Yusuf Al-Qaradawi; Pimpinan Ikhwanul Muslimin Mesir Syaikh Mohammad Mahdi Akef, Sekjen Hizbullah, Syed Hassan Nasrallah dan Pimpinan Hamas, Khaleed Mishal.

Nama Anwar Ibrahim turut disenaraikan di dalam lis 450 “Honourable Mention” di dalam pencapaian di bidang masing-masing dan diantara tokoh Islam yang signifikan di dalam dunia.

Nama Anwar Ibrahim tersenarai di bidang politik berserta dengan nama Tun Dr Mahathir Mohammad tetapi nama Mahathir tidak disenaraikan di dalam “Honorable Mention”.

Dari kalangan cendekiawan, daripada Malaysia yang tersenarai ialah Prof Emeritus Datuk Osman Bakar, Timbalan Naib Chancellor, Universiti Malaya dan Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali.

Mohideen Abdul Kadir, Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di dalam kategori Pembangunan sementara Kumpulan Raihan turut tersenarai di dalam katagori Seni dan Budaya.

Dalam pengantar buku yang diterbitkan untuk membantu dan membuka wawasan tentang pengaruh umat Islam di dunia saat ini dan beragamnya kelompok-kelompok Islam yang ada di seluruh dunia.

Penyusunan buku ini melibatkan pengamat dunia Islam yang namanya sudah dikenal secara meluas di dunia antarabangsa, Profesor John Esposito dan Profesor Ibrahim Kalin sebagai editor utama.


Continue Reading »

Related Posts with Thumbnails

Blog Yang Saya Lawati

Sambil-Sambil Dengar Lagu Naaa.....


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com